Graham Potter berkata permulaan mencabar Raheem Sterling di Chelsea sememangnya dapat difahami, tetapi pengurus itu menjangkakan anak buahnya tersebut akan terus berkembang menjelang pertemuan dengan bekas kelabnya, Manchester City.

Sterling menerima kritikan hebat sejak menamatkan tempoh tujuh musim yang berjaya dan sarat trofi di Man City apabila memilih Chelsea dalam perjanjian bernilai £50 juta (RM265.5j).

Walaupun pemain antarabangsa England itu menemui sentuhan penyudah dan menghasilkan sembilan bantuan gol dalam 21 penampilannya, malah hanya Mason Mount yang mencipta lebih banyak peluang daripadanya (32 berbanding 28).

Dia turut mencetak nama selaku penjaring ketika seri 1-1 dengan Nottingham Forest, hujung minggu lalu, sekali gus melanjutkan prestasi mengecewakan The Blues yang sekadar merakamkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir.

Dengan banyak tumpuan terarah kepada Sterling menjelang pertemuan getir Chelsea dalam dua pertemuan dengan City menerusi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan pusingan ketiga Piala FA minggu ini, lantas Potter menuntut permainan lebih jitu daripada pemain berusia 28 tahun itu.

"Ia adalah satu cabaran buatnya. Malah, ia adalah satu tempoh yang mencabar untuk semua orang," kata pengurus itu kepada pemberita.




“Terdapat banyak perubahan yang berlaku di sini dan banyak perkara telah terjadi.

"Dalam hal ini, bukan mudah untuk menyelesaikannya dengan sepenuhnya dan mencapai kejayaan mutlak. Saya pasti masih banyak lagi kemampuan yang mampu ditonjolkan Raheem, tetapi dia telah memberikan yang terbaik setiap hari.

"Kami perlu membantunya mencapai tahap yang kami tahu bahawa kami boleh sampai."