Perlawanan di antara Milan dan Roma bernilai dua kali ganda kerana kedua-dua pasukan saling bersaing untuk merebut tiket Liga Juara-Juara (UCL), kata pengurus Rossoneri, Stefano Pioli.

Milan menghuni kedudukan keempat Serie A tetapi hanya dipisahkan berdasarkan perbezaan gol sementara Roma turut mengumpul 56 mata menjelang pertembungan getir tengah malam ini.

Barisan kendalian Pioli itu akan menuju ke Stadio Olimpico di mana Giallorossi telah mengekalkan tujuh perlawanan tanpa dibolosi di kubu sendiri sendiri dalam lapan perlawanan terakhir liga, dan tiada pasukan lain dalam lima liga teratas Eropah yang mampu mengekalkan reputasi sedemikian sejak pada tahun ini.

Pioli mengakui kepentingan perlawanan itu dalam sidang akhbar pra-perlawanan dengan memberitahu pemberita: "Kami perlu memberikan kesinambungan kepada persembahan kami, memastikan perlawanan seterusnya adalah yang paling penting.




“Perlawanan esok bernilai dua kali ganda dan kami perlu menghadapinya dengan semangat dan keyakinan yang betul.

"Ia amat berbaloi. Selepas esok masih ada enam perlawanan lagi.

"Lebih banyak mata yang kami peroleh, lebih banyak peluang kami untuk berada di kedudukan empat teratas yang merupakan matlamat utama kami."