Stefano Pioli kecewa dengan aksi aneh Rafael Leao, yang beraksi di bawah tahap sebenar, ketika AC Milan terikat 1-1 dengan Salernitana dalam perlawanan Serie A di San Siro awal pagi tadi.

Rossoneri gagal memanfaatkan keadaan, di mana Inter Milan, AS Roma dan Lazio kesemuanya keciciran mata minggu ini, apabila jaringan pembukaan Olivier Giroud dalam babak pertama dipadamkan Boulaye Dia dalam separuh masa berikutnya.

Milan jelas mensia-siakan peluang di depan gawang, di mana hanya dua daripada 24 percubaan yang dilakukan mereka merupakan percubaan tepat yang diselamatkan penjaga gol Salernitana, Guillermo Ochoa.

Leao memperoleh peluang terbanyak dengan lima percubaan yang dilakukannya tetapi tiada satu pun daripadanya menemui sasaran.

Selepas dilaporkan sedang berada dalam radar beberapa pasukan gergasi Eropah termasuk Manchester City, Chelsea dan Real Madrid sebaik membantu Milan memenangi Scudetto musim lalu, Leao, bagaimanapun, bergelut sepanjang beberapa minggu ini.

Penyerang Portugal itu telah melalui 10 perlawanan tanpa sebarang jaringan sejak kali terakhir membolosi gawang Lecce pada Januari lalu dan sitasi itu membuatkan Pioli kecewa kerana pemain itu gagal mengulangi kecemerlangannya dalam sesi latihan sewaktu perlawanan sebenar.

"Keutamaan saya adalah untuk kekal rapat dengan pemain saya, sama ada pada waktu baik atau waktu buruk," kata Pioli ketika ditanya sama ada sedikit kritikan akan menjadi sesuatu yang baik buat Leao.

"Situasi aneh Leao adalah seperti ini -- dalam latihan, dia melakukannya dengan amat bagus, di banyak bergerak dan segalanya kelihatan amat baik.

"Kemudian, sewaktu dalam perlawanan sebenar, dia tidak melakukannya. Dia perlu mencari keseimbangannya," katanya.