AC MILAN 3 DINAMO ZAGREB 1

Ketua jurulatih AC Milan, Stefano Pioli, gembira dengan cara pasukannya menewaskan Dinamo Zagreb 3-1 dalam perlawanan Kumpulan E, Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di San Siro awal pagi tadi.

Olivier Giroud terlebih dahulu membuka jaringan buat Milan menerusi sepakan penalti pada penghujung babak pertama sebelum Alexis Saelemaekers menggandakan kelebihan itu hanya selepas dua minit perlawanan bersambung.

Dinamo Zagreb memberikan respons apabila Mislav Orsic menemui sasaran pada minit ke-56 tetapi Tommaso Pobega memastikan kemenangan Milan menerusi jaringannya pada minit ke-77.

Bagi Pioli, kemenangan itu merupakan satu langkah positif buat Milan selepas mendahului Kumpulan E hasil satu kemenangan dan satu keputusan seri.

"Ia satu lagi langkah positif. Saya memberitahu pemain bahawa mereka masih belum menang perlawanan UCL di laman sendiri walaupun mempunyai kualiti," kata Pioli kepada Sky Italia.

"Penyokong dan pemain kami layak menerimanya. Saya fikir kami boleh bermain dengan lebih baik, menjadi lebih tajam dan menjaringkan lebih banyak gol tetapi kami telah beraksi dalam banyak perlawanan sejak kebelakangan ini.

"Persembahan kami bergantung kepada diri kami sendiri sama ada di Itali atau Eropah.

"Kami tidak perlu memikirkan yang kami memerlukan sesuatu yang luar biasa untuk memenangi UCL.

"Tahapnya amat tinggi tetapi kami akan memberikan aksi yang sama ketika berdepan Napoli hujung minggu ini," katanya lagi.