HELLAS VERONA 1 AC MILAN 2

Semangat tidak mengalah AC Milan menjadi kunci kejayaan pasukan itu, di mana jaringan lewat permainan Sandro Tonalik memastikan kejayaan 2-1 mereka ke atas Hellas Verona dalam perlawanan Serie A di Stadio Marc'Antonio Bentegodi awal pagi tadi.

Demikian pandangan ketua jurulatih, Stefano Pioli, yang pasukannya berada di depan seawal minit kesembilan selepas Miguel Veloso terjaring ke gawang sendiri susulan lintangan Rafael Leao.

Bagaimanapun, Verona hanya memerlukan 10 minit untuk kembali mengikat kedudukan apabila percubaan Koray Gunter terbias ke badan Matteo Gabbia sebelum menerjah gawang.

Dengan kesuntukan masa, Milan kelihatan akan sekadar membawa pulang satu mata daripada perlawanan itu sehinggalah Tonali menemui sasaran bagi memastikan kemenangan keempat berturut-turut pasukan bimbingan Pioli itu berbaki lapan minit terakhir.

Milan melonjak ke tangga ketiga Serie A dan hanya ketinggalan tiga mata di belakang pendahulu, Napoli, dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

"Ia perlawanan yang sukar, kami bermula dengan baik," kata Pioli.

"Kemudian kami kerap melakukan kesilapan, membenarkan lawan memperoleh terlalu banyak peluang.

"Tetapi seperti biasa, pasukan ini dapat melaluinya dan kualiti yang dimiliki membenarkan kami memenangi perlawanan ini."

Pioli menambah: "Kami sedang berkembang, mungkin saya patut melakukan perubahan pada awal permainan tetapi kami sedar bertapa pentingnya peringkat ini musim ini dan memulakannya dengan kemenangan adalah cara terbaik untuk menghadapi tempoh ini.

"Mereka melakukan beberapa kesilapan sewaktu melakukan tekanan, kami juga melakukan beberapa kesilapan.

"Tetapi memenangi perlawanan sukar ini menunjukkan bahawa kami sudah berkembang daripada segi mental dan kesedaran, dan kami tidak berputus asa.

"Ini adalah kualiti yang dimiliki pasukan saya dan mereka tahu untuk menggunakannya pada waktu penting."