Luka Modric belum memulakan sebarang rundingan kontrak dengan Real Madrid sambil berikrar untuk kekal di kelab itu berdasarkan merit.

Kesepakatan itu akan berakhir hujung musim ini tetapi pemain tengah tersebut sudah menyatakan rasa terujanya untuk kekal bersama juara LaLiga, Eropah dan Piala Dunia Kelab berkenaan.

Modric mendedahkan tiada sebarang perkembangan mengenai masa depannya menjelang pertembungan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) di Liverpool, awal pagi esok.

Pemain berusia 37 tahun yang sudah lama berkhidmat itu mengulangi dia tidak akan kekal di Santiago Bernabeu sekiranya dia berasakan sudah tidak mampu menawarkan sumbangan besar.

Dia berkata: "Saya tidak boleh berkata apa-apa mengenai pembaharuan kontrak ini memandang saya belum berbincang dengan kelab.




"Saya sangat tenang. Saya sentiasa mengulangi perkara yang sama. Saya mahu kekal di sini. Saya berasa sihat dan saya mahu meneruskan karier di Madrid.

"Saya perlu bercakap dan tahu apa yang kelab fikirkan. Saya mahu menjadi orang yang sememangnya layak untuk meneruskan karier di sini, bukannya diberikan perjanjian baharu sebagai hadiah. Tiada siapa yang pernah memberikan saya apa-apa dengan percuma. Saya mahu terus berkhidmat di sini secara merit.

"Tiada apa-apa yang boleh mengubah hubungan saya atau pemikiran saya terhadap kelab ini. Madrid adalah kelab dalam hidup saya dan tiada siapa boleh mengubahnya.

"Saya telah berada di sini selama 11 tahun dan saya sedar mengenai tuntutan maksimumnya. Banyak perkara yang diperkatakan dari luar, ia adalah perkara biasa kerana ini adalah kelab terbaik di dunia.

"Toni Kroos dan saya telah digandingkan sebelum Piala Dunia dan sekarang nampaknya kami tidak berkesempatan.

"Kami telah mengecapi banyak kemenangan. Ia tidak mengganggu saya, saya sudah biasa dengannya. Kami cuma perlu beraksi dengan baik."