Kapten Liverpool, Virgil van Dijk, telah didakwa bertindak dengan cara yang tidak wajar berikutan layangan kad merah ketika bertemu Newcastle Ahad lalu.

Pemain skuad kebangsaan Belanda itu dibuang padang kerana mengasari Alexander Isak pada separuh masa pertama kemenangan 2-1 Liverpool di St James’ Park tetapi pertahanan tengah itu pada mulanya enggan meninggalkan padang dan kemudian membantah dengan pengadil perlawanan, John Brooks.

Ia menyebabkan dia digantung satu perlawanan automatik menentang Aston Villa hujung minggu ini namun penggantungan itu boleh ditingkatkan, yang boleh menyebabkan dia bakal terlepas perlawanan bertemu Wolves.


“Virgil van Dijk telah didakwa melanggar Peraturan FA E3.1 berikutan perlawanan Liga Perdana Inggeris Liverpool menentang Newcastle United pada Ahad, 27 Ogos,” menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak England.

“Didakwa bahawa pemain pertahanan itu bertindak dengan cara yang tidak wajar dan/atau menggunakan kata-kata kesat dan/atau menghina terhadap pegawai perlawanan.”

Van Dijk mempunyai masa sehingga Jumaat untuk menjawab pertuduhan itu.