Virgil van Dijk percaya penyerang Darwin Nunez mula menyedari potensi yang pernah mengetuk pintu hati Liverpool untuk melakukan perpindahan termahal kelab itu.

Pemain antarabangsa Uruguay itu bergelut dengan ujian awal di Anfield dan walaupun menyumbangkan 16 gol, ramai tetap beranggapan bahawa dia kurang menyerlah.

Dia sudah memainkan peranan penting musim ini dengan meledak dua gol lewat sebagai pemain gantian ketika menewaskan Newcastle, dan dengan Mohamed Salah di bangku simpanan dia menggalas tanggungjawab untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti dalam kemenangan 3-1 Liga Europa ke atas LASK di Austria.

Nunez sudah merekodkan tiga gol dan dua bantuan jaringan musim ini tetapi pengaruh menyeluruhnya sudah mula menampakkan hasil.

Pemain Uruguay itu, yang terlepas beberapa peluang sebelum ini tetapi dinafikan oleh kecemerlangan penjaga gol, Tobias Lawal, dalam separuh masa pertama turut memainkan peranan dalam gerakan jaringan kedua.


Justeru, ketua pasukan Liverpool itu percaya pemain berusia 24 tahun tersebut sudah berkembang menjadi penyerang yang diharapkan yang menyaksikan mereka sanggup membayar Benfica £85 juta (RM488j) musim panas tahun lalu.

“Setiap pemain mempunyai peranan untuk dimainkan sama ada anda bermula atau tidak. Semua orang mula dapat melihat potensi dan kualiti yang dimilikinya.

“Menentang LASK, Darwin menjadi tunjang perlawanan menerusi jaringan terbabit. Semoga ia berterusan termasuk rakan sepasukan yang lain.

“Di jentera serangan, persaingan agak bagus. Mereka semua perlu saling memberi saingan dan ia bagus untuk dilihat."