Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, menegaskan KHM tidak bersikap'pilih kasih' dalam memastikan kejayaan skuad hoki wanita, sebaliknya mereka diberi pendedahan terbaik sebelum berlepas ke Belgium.

Ketika ramai beranggapan skuad hoki wanita sekadar pasukan picisan di mata KHM, Subahan tampil menepis dakwaan itu.

Beliau sebaliknya menegaskan skuad hoki wanita negara telah diberikan peluang terbaik menerusi bajet yang melebihi skuad lelaki pada tahun ini melihat kepada graf pencapaian mereka yang semakin menaik.

"Kami membelanjakan banyak wang dalam perkembangan skuad hoki wanita berbanding lelaki. KHM tidak mengetepikan mereka, sama ada mereka berjaya ataupun tidak layak ke Piala Dunia nanti.

"Kami akan tetap terus memberikan lebih banyak ilmu serta pengalaman untuk mereka menjadi pasukan yang lebih baik," katanya.

Tegas Subahan, skuad hoki wanita mampu menjadi fenomena baru buat negara selain tidak mustahil mampu melakar sejarah baru di Belgium nanti.

Subahan yakin dengan kemampuan yang dibawa jurulatih, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah ke dalam skuad hoki wanita yang bakal berlepas ke Belanda untuk tiga aksi persahabatan hari ini sebelum berhadapan ujian sebenar di Belgium bagi Liga Dunia Separuh Akhir.

"Itu merupakan satu motivasi yang dimiliki oleh pasukan untuk berjaya. Buat masa ini, kami adalah yang terbaik di pentas Asia Tenggara. Kami akan cuba terus memperkembangkan mutu permainan pasukan ini untuk menjadi yang terbaik di Asia."

Skuad bimbingan Dhaarma akan memulakan aksi menentang pasukan nombor tiga dunia, Australia, pada 21 Jun.

Ia diikuti Sepanyol, tuan rumah, Belgium, dan New Zealand.

Kesemua perlawanan boleh disaksikan secara langsung di Astro Arena, saluran 802.