Domenico Tedesco percaya dia tidak perlu membuktikan apa-apa sekembalinya ke Jerman bersama pasukan baru, Belgium, selepas dipecat RB Leipzig dan Schalke.

Leipzig berpisah dengan Tedesco pada September 2022, sembilan bulan selepas dia memegang jawatan itu walaupun memenangi DFB-Pokal dalam kempen 2021-22.

Pengurus berusia 37 tahun itu turut disingkirkan Schalke pada Mac 2019, setahun selepas membimbing kelab berkenaan meraih tempat kedua Bundesliga.

Tetapi menjelang perlawanan persahabatan di antara Belgium dengan Jerman di Cologne awal pagi esok, Tedesco menegaskan bahawa dia berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang berkhidmat di negara tempat dia dibesarkan itu.

“Saya suka dengan tugas saya dan saya gembira dengan apa yang sudah saya capai,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan malam tadi.




"Saya sentiasa menuntut kemenangan tetapi saya rasa saya tidak mempunyai apa-apa untuk dibuktikan dalam kancah Jerman.

"Jurulatih juga tidak begitu penting, apa yang penting ialah pemain itu sendiri."




Juara dunia empat kali itu menghuni tangga ke-14 FIFA -- 10 anak tangga dipisahkan dengan Belgium tetapi ia bukanlah gambaran sebenar kualiti tuan rumah Euro 2024 berkenaan pada pandangan Tedesco.

"Bagaimana mungkin mereka berada di tangga ke-14?" soalnya kepada pemberita.

“Dalam Piala Dunia di Qatar mereka mencipta begitu banyak peluang, mereka cuma tidak cukup menjaringkan gol.

"Tiada siapa yang lebih mendambakan gol berbanding Jerman. Walaupun Jerman berada di kedudukan terakhir di ranking FIFA sekalipun, ia tidak akan mengubah apa-apa. Kami mahu menang walaupun ia perlawanan persahabatan.

"Jerman mempunyai beberapa bintang baru tetapi mereka adalah pemain berkelas tinggi. Mereka masih pasukan yang mantap."