Perlawanan pusingan kelayakan Euro 2024 di antara Belgium dan Sweden dihentikan pada waktu rehat separuh masa selepas dua penyokong ditembak mati di Brussels awal pagi tadi.

Pihak berkuasa tempatan menyifatkan insiden tembakan di King Baudouin itu sebagai satu keganasan, di mana Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, kemudian mengesahkan bahawa dua mangsa berkenaan berwarganegara Sweden.

"Susulan insiden di Brussels hari ini, perlawanan berkenaan tepaksa ditunda. Ingatan kami buat semua mereka yang terkesan dengan insiden berkenan," tulis pasukan kebangsaan Belgium dalam satu kenyataan di X.

Laporan media-media barat berkata pemain kedua-dua pasukan pasukan memilih untuk tidak meneruskan perlawanan itu ketika waktu rehat, di mana mereka pada ketika itu sedang terikat 1-1 selepas Viktor Gyokeres membuka jaringan buat Sweden pada minit ke-15 sebelum Romelu Lukaku menyamakan kedudukan buat Belgium selepas setengah jam perlawanan.

Satu kenyataan segera yang dikeluarkan FA Sweden berkata: “Mesej kepada penyokong Sweden yang berada di Brussels: Polis Belgium mahu penyokong Sweden kekal di arena atas sebab keselamatan. Dengar segala arahan daripada pegawai, pihak berkuasa dan kakitangan SvFF (Persatuan Bolasepak Sweden) di sana.

“Kami akan memberikan perkembangan lanjut apabila pihak berkuasa Belgium memberikan kami maklumat baru. Bertenang dan jaga satu sama lain. Ingatan kami kepada semua keluarga mereka yang terkesan di Brussels.”