Pemain tengah England, Declan Rice bakal diberikan penghormatan menggalas tanggungjawab tidak dijangka untuk mengetuai England dalam penampilan setengah abadnya pada perlawanan persahabatan menentang Belgium awal pagi Rabu ini.

Pemain berusia 25 tahun itu akan bermula di bahagian tengah di Wembley bagi membantu pasukan mencapai kemenangan.

"Saya rasa saya sudah melangkaui banyak kemajuan sebagai pemain sejak saya mula menyertai skuad ini pada usia 19 tahun.

"Saya mungkin agak gugup ketika pertama kali menyertai skuad England, tetapi lama-kelamaan selepas saya mula bermain lebih banyak perlawanan penting di kejohanan utama, saya semakin yakin. Saya menikmati setiap saat perjalanan saya.

"Lima puluh penampilan, saya sendiri tidak sedar, ia sebagai satu penghormatan buat saya.

"Ia satu penghormatan yang cukup besar buat saya apabila perlawanan itu nanti juga disaksikan keluarga dan rakan-rakan saya di Wembley. Saya tak mampu untuk berkata-kata," katanya.