AUSTRIA 2 BELGIUM 3

Belgium mengesahkan kelayakan ke kejohanan utama Euro 2024 apabila mengatasi Austria 2-1 dalam perlawanan Kumpulan F pusingan kelayakan di Vienna awal pagi tadi.

Pasukan pelawat itu pada awalnya kelihatan akan meraih kemenangan mudah selepas Dodi Lukebakio menjaringkan gol berganda dalam separuh masa berbeza sebelum Romelu Lukaku memberikan Belgium lebih keselesaan dan gol ketiga sebelum sejam perlawanan.

Bagaimanapun, keselesaan itu bertukar cemas apabila Austria mula merencanakan kebangkitan menuju ke penghujung permainan.

Konrad Laimer merapatkan jurang itu menerusi jaringannya pada minit ke-72 sebelum Belgium terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Amadou Onana dilayangkan kad merah berselang enam minit.

Marcel Sabitzer mengurangkan lagi defisit jaringan buat Austria menerusi gol sepakan penalti pada minit ke-84 tetapi ia sudah terlalu lewat untuk menyekat kemaraan lawan bimbingan Domenic Tedesco berkenaan.

Dengan kemenangan itu, Belgium sah ke Kejohanan utama di Jerman tahun depan selepas mengumpulkan 16 mata daripada enam perlawanan manakala Austria pula kekal di tangga kedua dengan 13 mata berbaki dua perlawanan.