TOULOUSE 0 PSG 1

Paris Saint-Germain (PSG) terus selesa di puncak kedudukan Ligue 1 dengan kelebihan 13 mata selepas menewaskan Toulouse 1-0 di Stadium Municipal, awal pagi tadi.


Beraksi di tempat lawan, PSG dilihat berdepan kesukaran untuk menembusi benteng Toulouse yang diketuai Issa Diop dan Kelvin Adou.

Sebaliknya, Yaya Sanogo hampir menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-14 apabila menerima hantaran lintang Max-Alain Gradel dari sebelah kiri, namun tandukannya dinafikan Alphonse Areola.

Neymar berpeluang meletakkan skuad bimbingan Unai Emery itu di depan pada minit ke-39 menerusi percubaan jarak dekat tetapi penjaga gol tuan rumah, Alban Lafont, sempat menghalang dengan kakinya.

Selepas babak kedua bersambung, pelawat cuba menambah tekanan buat Toulouse dan jaringan yang dicari-cari akhirnya muncul pada minit ke-68.

Selepas menerima hantaran lintang Angel Di Maria, Neymar bijak memperdayakan Steeve Yago sebelum mengatasi Lafont untuk menjadikan kedudukan 1-0 dan mengutip gol peribadinya yang ke-19 dalam liga.

Usaha Toulouse untuk mencari gol penyamaan terus menemui jalan buntu dan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat.