Manchester United mungkin menerima impak berdasarkan keputusan final Liga Juara-Juara (UCL) yang bakal berlangsung awal pagi esok.

Manchester United bakal tidak senang duduk menyaksikan Jadon Sancho beraksi dalam aksi final Borussia Dortmund bertemu Real Madrid.

Kelab Jerman itu bakal hadir ke Wembley sebagai pasukan bukan pilihan berdepan kelab paling berjaya di Eropah, dengan Real Madrid mengejar gelaran yang ke-15.

United tersingkir daripada UCL di peringkat kumpulan, menamatkan saingan di tempat tercorot dengan hanya melakar satu kemenangan daripada enam perlawanan. Bagaimanapun, individu yang berkuasa di Old Trafford mungkin bakal menerima impak hasil keputusan perlawanan malah bergantung kepada bagaimana Sancho beraksi.

Pemain sayap skuad kebangsaan England itu dipinjamkan ke Dortmund pada Januari selepas berselisih dengan Erik ten Hag dan enggan meminta maaf kepada pengurus United itu.

Sancho mula menikmati nafas baru bersama bekas kelabnya, menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan dalam semua pertandingan.

Penyerang itu secara meluas dijangka meninggalkan United dalam beberapa minggu akan datang, terutamanya jika Ten Hag mengekalkan tugasnya di Old Trafford musim depan.

Lebih baik Sancho bermain di final, lebih besar kemungkinan United dapat menaikkan tanda harga pemain tersebut untuk mana-mana kelab yang berminat menandatanganinya.

Ia masih belum dapat dilihat di mana Sancho akan bermain musim depan, dengan Dortmund berminat untuk membawanya kembali ke Jerman.

Bagaimanapun, telah dilaporkan bahawa perjanjian pinjaman akan menjadi keutamaan mereka dengan tujuan untuk menandatanganinya secara tetap pada musim panas 2025.

United pula dilaporkan ingin menjual Sancho dalam usaha mengimbangi kerugian mereka dan membantu memastikan mereka mematuhi peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris.

Prestasi cemerlang dalam final boleh meningkatkan nilai perpindahan Sancho, tetapi tidak ada jaminan bahawa Dortmund akan berada dalam kedudukan untuk memenuhi permintaan United apabila bidaan dibuka.

Legenda United, Rio Ferdinand, sudah pun berikrar untuk menyokong Dortmund dalam pertembungan Wembley malam ini tetapi atas sebab berbeza, dengan bekas pemain berusia 45 tahun itu mahu melihat Sancho menjuarai trofi terbesar dalam bola sepak Eropah.

“Saya suka Jadon memenanginya atas sebab itu,” kata Ferdinand.

"Saya tidak begitu mempedulikan Dortmund, saya tidak kisah siapa yang menang sebenarnya, jika saya jujur. Tetapi bagi seseorang seperti Jadon.

"Terpaksa menukar persekitaran, kelab, berdepan kritikan, kemudian membuktikan kualitinya di atas padang."