MANCHESTER UNITED 2 LIVERPOOL 2

Amat Diallo menjadi watak penting selepas menjaringkan gol penyamaan ketika membantu Manchester united bangkit untuk meraih keputusan seri 2-2 berdepan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Anfield, awal pagi tadi.

The Red Devils terlebih dahulu menghasilkan jaringan pembukaan pada minit ke-52 menerusi rembatan kencang Lisandro Martinez untuk menewaskan Alisson Becker, sebelum Cody Gakpo kembali menyamakan kedudukan selang tujuh minit kemudian untuk kedudukan terikat 1-1.

Namun, Pasukan tuan rumah diberikan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Matthijs de Ligt selepas pengadil perlawanan melakukan Video Bantuan Pengadil (VAR).






Mohamed Salah meletakkan namanya sebagai penjaring selepas mudah menewaskan Andre Onana untuk The Reds mendahului buat kali pertama 2-1 pada minit ke-70.

Begitupun, Amat terus mencipta sensasi -turut menjaringkan gol kemenangan 2-1 berdepan Manchester City bulan lalu- dengan jaringan penyamaan selepas menerima hantaran lintang Alejandro Garnacho yang masuk sebagai pemain gantian.

United berpeluang membawa pulang tiga mata berharga, namun Harry Maguire mensia-siakan peluang terhidang dihadapan gawang apabila rembatannya tersasar melepasi palang gol untuk perlawanan berakhir dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.







The Red Devils memberikan fokus sebanyak 54% pada serangan di bahagian sayap kiri sepanjang perlawanan, berbanding hanya 27.9% di bahagian kanan untuk memecahkan kubu pasukan lawan.