BOURNEMOUTH 2 BURNLEY 1

Pengurus Burnley, Vincent Kompany, tidak kisah dengan semakan ofsaid yang berlangsung agak panjang dalam kekalahan 1-2 di Bournemouth, malam tadi, tetapi tidak berpuas hati apabila pengadil tidak mengendahkan rayuan mereka terhadap bola terkena tangan lawan pada saat-saat akhir perlawanan.


The Clarets mengalami kekalahan kelapan dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas gol oleh Antoine Semenyo dan Philip Billing membatalkan jaringan menarik Charlie Taylor pada minit ke-11.

Detik kontroversi berlaku selepas 89 minit permainan apabila rembatan Jay Rodriguez ke penjuru bawah pintu gol dengan serta-merta dibatalkan kerana ofsaid sebelum pembantu pengadil video, David Coote, di Stockley Park mengambil masa enam minit untuk mengesahkan insiden itu.

Begitupun, Kompany lebih terkejut apabila bola yang terkena tangan Chris Mepham tidak disemak ketika permainan memasuki minit kelapan masa tambahan tidak disemak oleh pengadil.

"Ia kelihatan jelas, tiada yang saya rasakan melainkan kekecewaan," kata Kompany.




“Perkara pertama untuk saya tangani ketika ini yang sepatutnya menjadi situasi terakhir yang berlaku dalam sesebuah perlawanan ialah bola terkena tangan di dalam kotak penalti.

“Ia berlaku pada saat genting tetapi saya masih cuba untuk menghadamkan tentang apa yang berlaku pada masa itu.

“Kami mengambil masa lima hingga tujuh minit untuk mengkaji semula sama ada ia ofsaid atau tidak ofsaid. Garisan menjadi hijau bermaksud gol sementara garisan merah bermaksud ia bukan gol.

“Baiklah, saya seorang yang sentiasa percaya bahawa mereka perlu mengambil masa untuk membuat keputusan yang betul dan ia tidak memihak kami.

“Ia sesuatu yang sukar untuk diterima tetapi apabila situasi ini berlaku di penghujung perlawanan dan kami tidak boleh mengambil masa untuk menyemak bola terkena tangan?

“Pengadil tidak menangguhkan permainan apabila pemain dan kakitangan di bangku simpanan telah memanggilnya, kami dapat melihat kejadian itu dari sudut yang luas bahawa bola terkena tangan pemain lawan.

“Tangan itu yang menyentuh bola tetapi tiada semakan, tiada tambahan masa atas kelewatan untuk sepakan gol dan kami tewas, Saya cuba memahami apa yang sedang berlaku.”