ARSENAL 3 STOKE CITY 0

Arsenal tidak berdepan masalah untuk mengatasi Stoke City di depan penyokong sendiri selepas menewaskan skuad kendalian Paul Lambert itu 3-0 di Emirates, sebentar tadi.


Pengurus Gunners, Arsene Wenger, mempertaruhkan Pierre-Emerick Aubameyang selaku penyerang tunggal sambil disokong oleh Danny Welbeck dan Mesut Ozil di belakang pemain kebangsaan Gabon itu.

Bagaimanapun, rangkaian serangan itu tampak buntu untuk memecah masuk benteng pelawat yang diketuai oleh Bruno Martins Indi dan Ryan Shawcross.

Situasi kelam-kabut di depan gol Stoke pada minit ke-22 hampir memberikan pendahuluan buat Arsenal, namun percubaan Aaron Ramsey dari jarak dekat sekadar melewati palang gol.

Kesilapan Hector Bellerin yang terlepas bola di kawasan sendiri hampir menghukum Gunners, namun usaha yang diteruskan oleh Ramadan Sobhi sempat dihalang oleh Shkodran Mustafi, lapan minit kemudian.

Bersambung dalam babak kedua, Wenger membawa masuk Alexandre Lacazette bagi menggantikan Welbeck, namun barisan depan Gunners tetap gagal memecah kebuntuan.

Jaringan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba buat tuan rumah pada minit ke-75 selepas Ozil dijatuhkan oleh Martins Indi di dalam kotak penalti.

Aubameyang yang sudah menjaringkan tiga gol bagi saingan liga musim ini tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti itu menewaskan penjaga gol, Jack Butland.

Tatkala Stoke memburu gol penyamaan, Arsenal seolah-olah menerima semangat baru apabila Aubameyang sekali lagi mencatat jaringan selepas menyempurnakan sepakan sudut Ozil untuk menjadikan kedudukan 2-0, sebelum Lacazette menambah gol dengan jaringan penalti ketika aksi berbaki seminit untuk menjadikan kedudukan 3-0 dan kedudukan itu kekal sehingga tamat permainan.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal terus kekal di tangga keenam dan dibezakan lima mata dengan pasukan di tempat kelima, Chelsea.