Pemain muda Manchester City, Liam Delap, menyertai pasukan Liga Kejuaraan, Stoke City, secara pinjaman bagi musim 2022-23.

Pemain berusia 19 tahun itu menandakan penampilan pertamanya bersama skuad senior City dengan jaringannya sewaktu perlawanan Piala Liga Inggeris (EFL) dua tahun lalu dan melakukan lima penampilan lain bersama pasukan utama.

Delap merupakan sebahagian daripada skuad City ketika membelasah Bournemouth 4-0 hujung minggu lalu tetapi Pep Guardiola mengesahkan bahawa penyerang remaja itu akan dipinjamkan.

Pasukan juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengesahkan bahawa Delap akan mengikut jejak bapanya, Rory, menyertai Stoke, walaupun turut menarik minat beberapa kelab lain.

Delap, yang memiliki kontrak di Stadium Etihad sehingga Julai 2026, boleh melakukan penampilan pertamanya bersama Stoke menjelang aksi menentang Sunderland malam esok.

Pasukan bimbingan Michael O'Neill itu melalui permulaan perlahan musim ini dengan hanya mengumpulkan empat mata daripada empat perlawanan pertama.