Ketua jurulatih Itali, Roberto Mancini, menyamakan Wales dengan Stock City pada ketika dia menjangkakan tugas sukar menanti skuad Azzurri itu menjelang perlawanan terakhir peringkan Kumpulan A, Euro 2020 awal pagi esok.

Selepas mencatatkan dua kemenangan 3-0 berturut-turut, masing-masing ke atas Turki dan Switzerland, Itali sudah mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 dan hanya perlu mengelakkan kekalahan di tangan Wales bagi mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan A.

Wales, dalam pada itu, terikat seri dengan Switzerland sebelum menewaskan Turki 2-0 dan ia bermakna mereka juga hanya memerlukan satu mata untuk meneruskan kemaraan.

Itali tidak dinafikan merupakan pasukan pilihan untuk bergelar juara edisi kali ini selepas merekodkan 10 kemenangan tanpa bolos berturut-turut.

Seandainya mereka dapat mengelakkan kekalahan dalam pertemuan itu, Itali akan menyamai rekod sepanjang zaman mereka dengan 30 perlawanan tanpa kalah berturut-turut yang kali terakhir dilakukan dari November 1935 hingga Julai 1939.

Mancini menjangkakan Wales akan memberikan saingan sukar, sama seperti Stoke ketika dia bergelar pengurus Manchester City -- dalam lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris, Mancini hanya menang empat dan seri empat ketika berdepan The Potters.



"Stoke mempunyai gaya permainan yang amat keras, amat sukar untuk dihadapi," kata Mancini dalam sidang media.

"Ia perlawanan yang amat sukar daripada perspektif fizikal kerana mereka pasukan yang amat kuat seperti Stoke tetapi juga amat teknikal.

"Wales mempunyai pemain seperti (Joe) Allen, (Gareth) Bale dan (Daniel) James. Mereka mempunyai pemain berkualiti dan berkemahiran tinggi."