Jaringan ke-100 yang dicetak Mohamed Salah di Anfield mungkin menjadi tajuk utama tetapi pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, percaya penjaga gol, Alisson Becker, juga layak menerima pengiktirafan serupa.

Jaringan tunggal Salah ke atas Brendfort semalam menghadiahkan kemenangan keenam berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) buat bekas juara 2020 itu untuk mengekalkan peluang tipis membawa The Reds ke Liga Juara-Juara (UCL), tetapi kemenangan tipis berkenaan hanya mungkin menjadi kenyataan menerusi ketangkasan Alisson yang mencatat rekod tidak dibolosinya sebanyak 100 perlawanan.

Di sebalik musim yang mengecewakan, bintang Brazil itu muncul pemain paling tekal prestasinya di kelab berkenaan, sekalipun pencapaian 30 gol milik Salah buat kali keempat dalam tempoh enam tahun lebih disebut-sebut.

Justeru, Van Dijk -- yang tidak terlepas daripada kritikan hebat terhadap kewibaannya -- tampil menekankan keperluan kebergantungan Liverpool terhadap Allison.

“Dia adalah contoh kepada ramai pemain, khususnya penjaga gol. Saya sangat gembira kerana dia merupakan penjaga gol kami dan berjaya memainkan peranannya,” kata kapten Belanda itu.





“Jelas sekali di atas padang kualitinya ada untuk dilihat oleh semua orang –-sumbangannya, penyelamatan, kepimpinan, itu semua sangat penting dan di luar padang pula, kualitinya sama penting.

“Dia seorang pemimpin utama dalam kumpulan ini dan seseorang yang diharapkan oleh ramai pemain.

“Jelas sekali pencapaian ini (100 perlawanan tanpa bolos) adalah detik besar buatnya dan diharapkan ada banyak lagi yang akan ditawarkannya.”