Kepulangan Novak Djokovic dalam Terbuka Australia akan menjadi sesuatu yang baik buat sukan tenis, kata seorang lagi pemain legenda, Rafael Nadal.

Djokovic tiba di Australia minggu ini dan akan beraksi dalam Kejohanan Antarabangsa Adelaide sebelum menyertai saingan grand slam pertama bagi tahun 2023 itu pada 16 Januari ini.

Awal tahun lalu, juara 21 kejohanan grand slam itu diusir daripada Australia dan dilarang untuk menyertai kejohanan edisi lalu kerana tidak mahu menerima suntikan vaksin COVID-19.

Walaupun kehadiran Djokovic akan menyukarkan Nadal untuk mempertahankan gelarannya, yang diperoleh sewaktu ketiadaan pemain Serbia itu hampir setahun lalu, legenda Sepanyol berkenaan gembira dengan penglibatan seterunya itu.

"Novak sudah berada di sini, ia bagus untuk sukan tenis.

"Ayuh kita lihat. Dengan adanya pemain terbaik di atas gelanggang, ia sentiasa lebih bagus," katanya.