Serena Williams akan memulakan cabaran dalam Kejohanan Tenis Wimbledon dengan berdepan pemain Perancis, Harmony Tan, yang akan melakukan penampilan pertamanya dalam kejohanan utama.

Ia merupakan satu kelegaan buat pemain Amerika Syarikat berusia 40 tahun itu, yang merupakan juara tujuh kali acara perseorangan di Wimbledon, kerana dapat mengelakkan pemain pilihan dalam pusingan awal berkenaan.

Terdapat kemungkinan untuk Williams bertemu pemain pilihan dalam pusingan pertama memandangkan dia bertanding atas tiket peluang khas selepas setahun tidak beraksi secara kompetitif dalam acara perseorangan sejak mengalami kecederaan buku lali di Wimbledon tahun lalu.

Bagaimanapun, juara grand slam 23 kali itu akan bertemu pemain nombor 113 dunia, Tan, dan ia dilihat sebagai laluan terbaiknya untuk kembali menghidupkan karier dalam Jelajah WTA.

Kejohanan Wimbledon akan bermula pada Isnin ini dengan juara bertahan, Ash Barty, tidak akan terlibat selepas membuat kejutan mengumumkan persaraannya pada Mac lalu.