Skuad Ragbi 7's negara diletakkan dalam kumpulan maut apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Afrika Selatan, Scotland dan Tonga menjelang Sukan Komanwel Birmingham bermula hujung bulan ini.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menyarankan agar peminat untuk meletakkan harapan lebih realistik agar pasukan negara dapat memberikan tentangan yang sengit buat kesemua lawan berkenaan walaupun tidak menang.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Setiausaha Agung KRM, Amrul Hazarin Hamidon, berkata: "Kami berasakan ia adalah satu kumpulan yang sukar yang perlu dilalui pasukan Bunga Raya kita.

"Tetapi macam mana pun, kita perlu menghadapinya juga.

"Saya rasa ketiga-tiga lawan itu sememangnya sukar, jadi kami berharap agak pasukan negara dapat mengurangkan jurang dan merapatkan mata apabila bertemu mereka.

"Untuk menang memang agak sukar kerana kita akan berdepan pasukan terbaik dunia, jadi kita perlu lebih realistik," katanya.