Prestasi membanggakan yang dipamerkan beregu campuran ping pong negara, Javen Choong-Karen Lyne, untuk mara ke final acara individu dalam Sukan Komanwel Birmingham mungkin akan mengubah perancangan Sukan itu pada masa akan datang.

Walaupun tewas 4-11, 11-9, 5-11, 6-11 kepada pasangan India, Sharath Kamal Achanta-Sreeja Akula, dalam final di Dewan NEC 3 awal pagi tadi, keupayaan mereka untuk bersaingan dengan lawan di kelompok 10 terbaik sepanjang temasya itu merupakan sesuatu yang amat mengagumkan.

Perak yang diarih mereka dalam edisi kali ini sudah cukup untuk membuktikan Javen dan Karen mampu bersaing di pentas tertinggi dan dalam satu temu bual bersama Astro Arena, Javen berkata: "Bagi saya, pingat ini memang amat susah untuk didapatkan kerana laluan kami benar-benar sukar.

"Tetapi kami telah melakukan yang terbaik sehingga ke penghujungnya dan hanya dapat pingat perak.

"Selepas ini, saya harap kami akan mendapatkan pingat emas," katanya.

Karen menambah: "Pada awalnya kami ingat memang kami tidak berpeluang kerana undian kami memang sukar sejak perlawanan pembukaan.

"Jadi, kami tidak mahu memikirkannya dan hanya mahu bersaing sahaja.

"Kami pun tidak sangka akan sampai ke final dan bagi saya ia memang seperti satu keajaiban."