Pemain ping pong kebangsaan, Ho Ying anggap peluang bermain di liga eropah merupakan pendedahan terbaik buatnya sebelum bertarung dalam kejohanan dunia yang bakal dilangsungkan di Busan, Korea Selatan pada Februari depan.

Dia jelas agak terkejut dengan panggilan bagi menyertai liga di Sepanyol memandangkan Ho Ying sendiri tidak merasakan prestasinya berada di puncak, namun dia bangga kerana dapat membawa nama Malaysia ke pentas eropah.

"Sebelum ke kejohanan dunia, saya akan beraksi di Liga Sepanyol dimana semua pesertanya adalah bertaraf juara dunia. Aksi Liga Sepanyol ini adalah persediaan saya untuk ke kejohanan dunia," ujar Ho Ying, 6 kali pemenang pingat gangsa Sukan SEA, menerusi Nadi Arena.

Bagaimanapun, Ho Ying akan memberikan tumpuan terlebih dahulu pada Terbuka China yang bermula pada 20 Disember ini, dengan mensasarkan sekurang-kurangnya kemaraan ke peringkat separuh akhir.

"Saya teleh dijemput oleh pasukan China untuk beraksi bersama mereka dan ini adalah satu penghormatan buat saya untuk bergandingan dengan pasukan nombor satu dunia dalam sukan pingpong."