Kalau kita sebut nama Randy Mamola, mungkin bagi sebahagian otai yang meminati sukan perlumbaan MotoGP di era 80an atau 90an cukup mengenali sosok tubuh kecil dari Amerika Syarikat itu.

Di zaman kegemilanganya, Mamola cukup terkenal dengan jentera Cagiva dengan menjanjikan skill yang agak menggila setiap kali kelibat beliau turun ke litar.



Beliau juga terkenal dengan corak tunggangan yang agresif ketika masih menjadi pelumba kegemaran untuk memenangi podium pada setiap siri perlumbaan MotoGP.

Antara jentera yang sempat beliau gunakan ketika itu selain Cagiva termasuklah Suzuki, Yamaha dan Honda.

Sementara musuh tradisi Mamola di atas litar di era tersebut termasuklah Eddie Lawson, Wayne Gardner dan lain-lain.

Kini beliau sudah lama bersara sebagai pelumba MotoGP tetapi tidak bermakna dia menyepi diri bahkan masih terlibat dengan perlumbaan motosikal paling elit di dunia itu.

Randy Mamola kini terllibat dengan pasukan Ducati di MotoGP dengan diberi kepercayaan selaku penunggang jemputan bagi sesi khas dalam setiap pusingan perlumbaan di segmen MotoGP X2.

Segmen tersebut sebenarnya diwujudkan bagi memberikan pengalaman berharga kepada penonton terpilih VIP untuk turut sama merasai realiti sebenar tunggangan MotoGP dengan menawarkan kepada mereka satu pusingan (1 lap).

Agak bertuah sebenarnya apabila selaku wartawan dari Astro, kami dijemput oleh team tersebut untuk merasai pengalaman itu sendiri pada pusingan perlumbaan yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 2019 yang lalu.

Masih segar ingatan itu sebenarnya dan jika diimbau ia merupakan antara pengalaman paling berharga yang pernah saya lalui sepanjang bertugas dalam bidang kewartawanan sejak 2003.


(Bergambar juga dengan rakan Mamola, Franco Battaini)

Walaupun pernah mempunyai pengalaman mengendalikan motosikal berkuasa tinggi dari jentera Ducati selain menunggangnya di atas litar yang sama, namun ia cukup berbeza apabila kita memboncengnya di belakang bekas pelumba MotoGP sebenar seperti Mamola.

Selepas menjalani pemeriksaan perubatan serta memakai sut perlumbaan yang telahpun disediakan oleh Ducati, saya bersama beberapa tetamu VIP yang lain diberikan penerangan khas yang ringkas mengenai peraturan dan cara untuk respon yang betul ketika sesi tersebut berlangsung.

Sebaik segalanya berjalan lancar kami di bawa ke garisan permulaan di tengah litar yang sudah tersedia menannti dua jentera Desmosedici yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP namun telah diubah suai dengan dua tempat duduk.

Saya masih ingat ketika itu sesi latihan bebas MotoGp baharu sahaja selesai dan semua pasukan sedang bersiap sedia untuk mengharungi pusingan kelayakan bagi memburu kotak hadapan pada perlumbaan sebenar keesokkanya.

Sebaik pulasan minyak terus dihenjut Mamola, jentera tersebut terus berada dalam keadaan 'wheelie' sepanjang trek lurus itu sehinggalah ke penghujung sebelum memasuki selekoh pertama sebelum 'pad' lutut mula terasa menyentuh trek kebanggaan rakyat Malaysia itu.

Agak sukar sebenarnya bagi sesiapa sahaja yang duduk di belakang pelumba untuk mengikuti segala pergerakan badan Mamola memandangkan seakan tiada waktu untuk meluruskan tulang belakang..sebaliknya sentiasa merasai turun naik lutut dan punggung ke kiri dan kanan selain melihat langit yang cerah setiap kali beliau melakukan aksi Wheelienya.

Boleh dikatakan sebaik sahaja 'deal' dengan aksi hard breaking sebelum memasuki setiap selekoh, Mamola akan melakukan aksi Wheelie sambil sebelah tanganya akan melambai kepada penonton yang berada di sepanjang trek tersebut.

Melakukan aksi wheelie pada kelajuan mencecah sehingga 240 hingga 260 kilometer sejam bukanlah satu aksi yang mungkin kita biasa atau mampu tersenyum, tetapi itulah pengalaman paling berharga pernah saya lalui sebagai wartawan dan juga penggemar dunia sukan permotoran sejak di usia remaja.



Justeru jemputan Mamola dan juga rakanya Franco Battaini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal sebenarnya..ngeri, kecut perut tetapi mungkin ia bukanlah satu pengalaman yang mampu dirasai oleh semua..

"Still breathing well dude?"...masih terngiang pertanyaan Mamola sejurus membuka topi keledar sebaik sahaja tamat sesi tersebut dengan aksi 'wikang' disusuli dengan hilai tawa kami berdua.

Apapun Special Thanks to Ducati Team and of course to Randy Mamola & Franco Battaini for the best experience..anda memang jaguh MotoGP yang sejati dan gila!!