Liberty Media bersetuju membeli MotoGP menerusi perjanjian bernilai RM21.3 billion.

Sebanyak 86 peratus saham dalam MotoGP dibeli pemilik Formula 1 (F1), Liberty Media, dengan jaminan tiada kesan berlaku kepada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selaku tuan rumah Grand Prix (GP) Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Azhan Shafriman Hanif, menegaskan SIC masih berurusan dengan Dorna yang merupakan pemegang hak penganjuran MotoGP merujuk kepada kontrak hingga 2026.

"Kami masih berurusan dengan Dorna daripada segi kontrak dan yuran penganjuran dah ditetapkan sampai 2026.



"Selepas melonjakkan F1, kami mengharapkan pemasaran menarik Liberty Media akan (bawa manfaat) pada masa akan datang," katanya.

Tegas Azhan Shafriman, SIC lebih selesa mengambil pendekatan tunggu dan lihat selain yakin jika ada berlaku perubahan yang bersifat positif.

"Setakat ini tiada (perubahan), Dorna masih lagi penganjur untuk perlumbaan pada tahun ini.

"Mungkin ada tapi saya anggarkan ia perubahan positif kepada sukan permotoran," katanya.