Dua hari sesi ujian rasmi musim baharu MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang nyata bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh juara dunia lapan kali Marc Marquez selepas membuat keputusan untuk menyertai pasukan baharunya Gresini.

Walaupun mampu melengkapkan sebanyak 72 pusingan, Marquez dengan jentera Ducatinya hanya mampu membuat catatan terpantas sepusingan di litar berjarak 5.543 kilometer itu dengan 1 minit 58.118 saat iaitu catatan ke-14 terpantas keseluruhan.

Sebaliknya Enea Bastianni dari pasukan Ducati Leenovo Team yang lebih menyerlah pula selepas dia memastikan musim baharu lebih memberinya keyakinan dengan mempamerkan corak tunggangan yang lebih agresif dan paling pantas dengan menamatkan sesi yang berlangsung semalam dengan 1 minit 57.134 saat.

Berbeza dengan tunggangan pertama Marquez di Valencia beberapa bulan lalu yang lebih memperlihatkan gaya dan tunggangan yang lebih baik, sesi di Sepang ternyata menzahirkan kebimbangan buat pelumba Sepanyol itu untuk mengharungi musim baharu yang bakal membuka tirainya Mac ini.

Marquez yang ditemui media selepa sesi tersebut mengakui bahawa dia terlalu sukar membuang gaya dan corak tunggangan yang digunakan ketika menunggang jentera Honda sejak sekian lama.

Menurutnya taktikal dan cara mengendalikan jentera Ducati amat jelas memiliki perbezaan yang ketara terutamanya sistem breaking yang dimiliki menjadikan ia lebih sukar untuk mengawal jentera buatan Itali itu di setiap selekoh.



"Cara untuk kita mengendalikan tayar belakang (Ducati) adalah terlalu berbeza..Senang cerita saya telah mengendalikan jentera Ducati seperti Honda. Di Valencia sebelum ini semuanya kelihatan seakan baik namun ia tidak berlaku di sini (Sepang). Apa yang perlu saya buat sekarang adalah untuk buang tabiat biasa saya yang selalu saya gunakan ketika menunggang jentera Honda" Katanya.

Kata-kata Marquez itu jelas memiliki kebenaran apabila dia terbabas pada sesi ujian di hari pertama walaupun beliau bernasib baik kerana tidak jatuh.

Namun ia bukanlah petanda yang baik sebenarnya malah mengingatkan kita kepada sejarah yang turut pernah dialami oleh lagenda MotoGP sebelum ini Valentino Rossi.

Rossi yang satu ketika dahulu cemerlang bersama Yamaha pernah bertindak untuk berhijrah ke pasukan Ducati dengan harapan mampu membuktikan bahawa dia boleh sahaja mengekalkan kejuaraan yang dikecapinya.

Namun malangnya tanggapanya itu ternyata meleset apabila gagal mengulanginya sepanjang tempoh berada bersama pasukan itu sehinggalah dia kembali kepada pasukan lamanya.

Sesi ujian di Litar Sepang akan terus bersambung hari ini iaitu hari terakhir buat semua pelumba dan pasukan