Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) pula mengumumkan Kejohanan Ragbi 7's Kebangsaan dari 21 hingga 23 Julai ini.

Empat kategori bakal dipertandingkan iaitu termasuk untuk lelaki dan wanita B-20.

Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil, mengharapkan edisi kali ini lebih kompetitif dengan adanya beberapa pemain kebangsaan dalam beberapa pasukan negeri masing-masing.




"Tahun ini kami lepaskan pemain untuk mewakili pasukan masing-masing, tiada had untuk negeri mengambil mana-mana pemain dan ini menjadikan kejohanan lebih mencabar.

"Persoalan besar juga jika pemain kebangsaan tidak boleh tampil hebat untuk bersaing dengan pemain tempatan," katanya dalam sidang media.

Fahmy juga tidak menafikan pengambilan bakat-bakat baru untuk diserap ke skuad kebangsaan hasil daripada penganjuran kali ini.

"Bakat-bakat baru akan diserapkan dalam pasukan kebangsaan tetapi bukan Sukan Asia yang senarai namanya sudah ditutup 31 Mei lalu dan kami sudah daftarkan 18 pemain.

"Bakat baru ini pula akan diserapkan dalam Kejohanan 7's Asia yang akan datang lagi," katanya.




Kejohanan Ragbi 7's Kebangsaan bakal diadakan di dua lokasi berlainan di Ipoh yang menyaksikan pasukan tuan rumah, Perak, diundi dalam Kumpulan A bersama Sabah, Pahang dan Terengganu.

Kejohanan selama tiga hari ini mengetengahkan format dua pusingan di peringkat kumpulan ini sebelum aksi kalah mati dalam suku akhir.