Selepas tewas di Piala Malaysia, Selangor turun dengan azam baharu untuk unggul di saingan Piala Cabaran dan berjaya tundukkan Kelantan Darul Naim dengan keputusan 5-1.

Tidak menunggu lama apabila Gergasi Merah berjaya berada di hadapan seawal minit kedua hasil jaringan penyerang berbisa mereka, Ronnie Fernandez.

Sebelum berakhir separuh masa pertama, Mukhairi Ajmal menggandakan kedudukan buat Selangor selepas menerima umpanan cantik dari Quentin Cheng.

Mukhairi menambah satu lagi koleksi gol di minit ke-48 selepas dengan kali ini membuat percubaan kaki kiri di dalam kotak penalti untuk Selangor berada di hadapan dengan tiga gol.

Walaubagaimana pun, Kelantan Darul Naim berhasil mendapatkan satu gol hasil dari kesilapan penjaga gol mereka, Azim Al-Amin yang gagal mengeluarkan bola dengan cemerlang.

Namun perkara itu tidak menjadi masalah apabila Ronnie Fernandez menambah derita KDN untuk jaringan keempat buat Selangor sebelum Quentin Cheng sempurnakan malam gemilang selangor dengan gol kelima.