Gimnas kategori B-15, Lezane Tan, meletakkan sasaran tiga pingat emas dalam Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil minggu ini.

Anak jati Kuala Lumpur itu memasang azam untuk membuktikan kehebatannya selepas cemerlang dalam Sukan Malaysia (Sukma) Kuala Lumpur tahun lalu , di mana dia merangkul emas acara gelung.

Sebagai rekod, Lezane turut meraih emas dalam acara bola selain perak acara berpasukan dalam Sukma lalu.

Selain itu, dia turut menempatkan dirinya sebagai finalis dalam Kejohanan Asia di Manila, Filipina tahun ini.

"Saya mahu mendapatkan tiga pingat emas untuk acara reben, belantan dan berpasukan," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

"Setakat ini, segalanya berjalan dengan baik tetapi saya akan menghadapi aksi final esok, jadi kita akan lihat apa yang akan berlaku.

"Adakalanya saya menangis kerana agak tertekan tetapi selepas saya menangis, saya akan kembali meneruskannya dan segalanya akan kembali normal," katanya.