Wakil tunggal negara dalam Moto3, Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok, perlu diberikan masa untuk mencipta nama.

Bekas pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman, percaya Damok akan menempa kejayaan membanggakan sekiranya semua pihak memberi ruang secukupnya untuk pelumba pasukan MTHelmets-MSI itu membuktikan kemampuan dalam musim penuh pertamanya tahun ini.

"Bagi saya Damok memang ada potensi tinggi untuk jadi pelumba profesional bertaraf antarabangsa, cuma dia perlu diberikan waktu secukupnya, bagi dia rasa selesa dulu.

"Damok pasti berjaya sekiranya beliau mampu bertahan lebih lama dalam Moto3 nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Malaysia Speed Festival (MSF) 2023 di Sepang.

Damok membuat kemunculan sulung di pentas Moto3 pada musim 2021 atas tiket wildcard ketika mewakili Petronas Sprinta Racing dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke-13 di Grand Prix (GP) Aragon, Alcaniz, Sepanyol.

Pemuda berasal dari Selangor itu kemudiannya membuat empat penampilan atas tiket wildcard pada musim lepas dengan berlumba di GP Portugal, Sepanyol, Catalunya dan Malaysia.



Dalam pada itu, Azlan tekad memberi tentangan sengit dalam usahanya untuk muncul sebagai juara keseluruhan pada kejuaraan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2023 selepas sekadar menduduki tempat ketujuh dengan 82 mata musim lepas.

Mengenai MSF, Azlan menyifatkan kejohanan itu sebagai acara yang sangat penting bagi kalendar sukan permotoran negara, selain memberi peluang untuk pelumba amatur bersaing bersama pelumba profesional.

Sebanyak lima kategori perlumbaan bakal dianjurkan iaitu Kejohanan SuperMoto Malaysia, Kejohanan Piala Saga Malaysia, MSF Touge Hill Climb, MSF SuperTurismo dan MSF Superbikes dalam kejuaraan itu yang akan bermula dari 5 Mac hingga 5 Nov ini, di beberapa lokasi termasuk Litar Antarabangsa Sepang.

kredit: Sinar Harian