Akhbar Thailand, Siam Sport, melahirkan rasa kecewa apabila Republik Korea menyenaraikan pemain bintang, Son Heung-min dan Lee Kang-in dalam skuad kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia.

Korea Selatan dan Thailand akan bertembung dalam dua perlawanan pada kelayakan Piala Dunia 2026 pada 21 dan 26 Mac di Seoul dan Bangkok. Kedua-dua perlawanan itu amat penting bagi kedua-dua pasukan untuk cemerlang dalam kumpulan C.

Senarai pemain Korea Selatan untuk temasya itu termasuk Heung-min dan Kang-in, yang mengejutkan beberapa pemerhati kerana kedua-dua mereka dijangka dikenakan tindakan disiplin kerana insiden pergaduhan di luar perlawanan Piala Asia awal tahun ini.

"Son Heung-min dan Lee Kang-in masih akan bermain untuk Korea Selatan menentang Thailand dalam kelayakan Piala Dunia. Kedua-dua pemain tersebut masih pemain utama pasukan kebangsaan Korea Selatan walaupun skandal di Piala Asia 2023," tulis Siam Sport.

Pergaduhan antara Heung-min dan rakan sepasukannya, Kang-in berlaku semasa makan malam pada 5 Februari, sehari sebelum kekalahan 0-2 skuad kepada Jordan pada separuh akhir piala.

Kapten pasukan itu menegur sekumpulan pemain muda, termasuk Kang-in, kerana membuat bunyi yang kuat dan mengganggu ketika bermain ping-pong di ruang makan pasukan kebangsaan.

Walaupun mereka sudah berdamai apabila Kang-in terbang ke London dan meminta maaf kepada Heung-min pada 21 Februari, ramai media di Thailand percaya bahawa mereka tidak akan mendapat panggilan ke pasukan kebangsaan bulan ini.

Jika mereka tidak mendapat panggilan itu, ia merupakan satu kelebihan besar buat Thailand, kerana peluang mereka untuk menang lebih tinggi tanpa perlu berdepan dua bintang Korea itu.

Dalam artikel lain, Siam Sport menjelaskan bahawa Lee masih dipanggil selepas jurulatih Hwang Sun-hong membantu menyelesaikan pertikaian antara kedua pemain tersebut.

"Korea Selatan memerlukan pemain berkualiti tinggi untuk perlawanan menentang Thailand pada Mac, jadi kedua-dua mereka masih boleh bermain walaupun ada soalan daripada media," tambah Siam Sport.

Sumber: VNExpress.net