Peninju profesional negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi, sedia beraksi dalam Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (JIBC) tahun ini selepas muncul juara kategori light heavyweight untuk memenangi tali pinggang WBC Asian Continental di Thailand baru-baru ini.

Selain itu, peninju dengan gelaran Golden Boy berkenaan turut menyeru agar sensasi muaythai negara, Johan 'Jojo' Gahzali, untuk turut serta dalam kejohanan itu.

"Untuk perancangan di JIBC, setakat ini belum ada sebarang perbincangan lagi kerana ia baru di peringkat awal," katanya kepada wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.

"Namun seperti yang saya maklumkan, kita tidak boleh menantikan satu kejohanan sahaja untuk mempersiapkan diri.

"Kita perlu sentiasa dalam keadaan bersedia dan meneruskan latihan supaya kita dapat menyertai mana-mana kejohanan yang tiba dahulu," katanya.

Mengenai penyertaan Jojo dalam kejohananan di Johor itu, Adli berkata: "Seperti mana yang kita semua tahu, JIBC hanya fokus kepada tinju profesional dan Johan Gazali merupakan atlet Muay Thai.

"Bagaimanapun, dia memiliki kemahiran tinju yang bagus, jadi tidak mustahil dalam perancangan yang terdekat ini, dia akan dijemput masuk ke JIBC untuk bertanding dalam acara tinju pula.

"Namun, ia masih di dalam perbincangan peringkat awal, jadi kita nantikan apa yang akan berlaku selepas ini," katanya.