Petarung muda negara, Johan "Jojo" Ghazali, mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam saingan ONE Championship apabila hanya memerlukan 36 saat untuk menumbangkan lawan berpengalaman, Edgar Tabares.

Menerusi penampilan pertamanya dalam Primetime US, petarung berusia 17 tahun itu menewaskan juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Tabares, dalam pertarungan ONE Fight Night 17 di Stadium Tinju Limpinee di Bangkok, Thailand sebentar tadi.

Sebaik 'bout' dimulakan, Jojo tidak menunggu lama sebelum melepaskan tiga tumbukan berturut-turut yang mengakibatkan Tabares tersungkur ke lantai, sekali gus memberikannya satu lagi kemenangan KO untuk melebarkan rekodnya kepada lima kemenangan berturut-turut -- empat daripadanya dengan kemenangan KO.