Peminat sukan tanah air mesti sedar akan kewujudan atlet muda yang mencipta sensasi dengan pelbagai prestasi diraih selain keterampilan menarik yang ditonjolkan atlet Muay Thai, Muhammad Johan Ghazali atau lebih mesra disapa Jojo.

Disebalik kejayaannya, menerusi kiriman aplikasi Instagram, kita boleh lihat betapa sokongan orang terdekat adalah sesuatu yang memainkan peranan penting.

Ada juga video yang dimuatnaik menyaksikan latihan turut dilakukan bersama ibu sendiri selain ikatan mesra sekeluarga yang membuahkan hasil positif dalam perjalanan mereka.

Dan di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi apabila adik Jojo, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar, pula mula tunjuk taring menerusi pingat emas dalam kategori 42 kilogram bagi usia 14 hingga 15 tahun WBC Amazing MuayThai World Festival di Bangkok, Thailand baru baru ini dan memastikan dominasi itu diteruskan daripada edisi lalu.

Bukan tu je, adik perempuan kepada Jojo dan Mikail, Emylia Lynn, turut meraih gangsa dalam saingan kategori usia 12 hingga 13 tahun.

Pengorbanan. Anak muda di usia sebegini perlu melupakan banyak perkara menjadi seorang kanak kanak dan terus komited demi kejayaan dalam sukan diminati mereka.

Mentaliti juara dipupuk atlet berasal Perak yang baru je berusia 17 tahun ni bersama keluarganya patut dijadikan contoh untuk legasi Muay Thai di Malaysia berterusan.