McLaren bersedia untuk memberikan keutamaan kepada Lando Norris berbanding rakan sepasukan, Oscar Piastri, dalam usaha mereka untuk memenangi kedua-dua kejuaraan Formula Satu, bermula di Baku hujung minggu ini.

McLaren kini menduduki tempat kedua dalam kejuaraan jentera, lapan mata di belakang Red Bull, dengan kedua-dua Norris dan Piastri juga berada dalam lima teratas kedudukan pemandu.

Setelah mempamerkan perningkatan dalam lapan perlumbaan terakhir musim ini, pasukan yang berpangkalan di Britain itu telah memilih untuk menyokong Norris berbanding pelumba Australia itu.

Bagaimanapun, Andrea Stella berkata keputusan untuk menyokong pelumba kelahiran Britain itu untuk menyingkirkan Max Verstappen hanya akan berlaku dalam prinsip semangat kesukanan dan keadilan pasukan.

"Konsep keseluruhannya ialah kami sangat berazam untuk menang, tetapi kami mahu menang dengan cara yang betul," kata Stella.

"Kami [akan] memberikan sokongan kami kepada Lando tetapi kami mahu melakukannya tanpa terlalu banyak kompromi terhadap prinsip kami," katanya.

"Prinsip kami ialah sasaran pasukan sentiasa diutamakan. Semangat kesukanan bagi kami adalah penting dalam keseluruhan cara kami berlumba.

"Dan kemudian kami mahu berlaku adil kepada kedua-dua pemandu."