FIA tetap mengekalkan keputusan memberikan penalti buat pemandu McLaren, Lando Norris, dalam Grand Prix Qatar.

Norris dikenakan penalti 10 saat kerana gagal mengangkat pendikit ketika bendera kuning berganda dikibarkan.

Pelumba berusia 25 tahun itu jatuh dari kedudukan tempat kedua ke terakhir dalam kalangan pemandu yang tinggal dan keputusan itu memberi impak yang besar dalam perebutan kejuaraan kategori pengeluar.

Prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff, menggelar penalti itu sebagai "kejam" dalam satu temu bual dengan Sky Sports dan menuduh pegawai sukan itu tidak konsisten.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal pagi tadi, pihak badan induk F1 itu menjelaskan mengapa keputusan itu betul.

"Penalti itu mengikut garis panduan penalti yang diedarkan kepada setiap pasukan pada 19 Februari 2024," kata kenyataan itu.

"Pelanggaran bendera kuning berganda dikira satu pengabaian keselamatan serius, dan disebabkan itulah kesalahan berkenaan dikenakan penalti yang besar."