SLOVENIA 1 DENMARK 1

Gol daripada Erik Janza memadamkan kelebihan satu gol Denmark, sekali gus memastikan kebangkitan Slovenia dalam aksi pertama Kumpulan C, Euro 2024 di Stuttgart sebentar tadi.

Bintang Manchester United, Christian Eriksen, terlebih dahulu meletakkan Denmark di depan seawal minit ke-17.

Pemain veteran berusia 32 tahun itu, yang mengalami serangan jantung ketika Euro 2020, bijak menghidu peluang di depan gawang susulan kuisan ke belakang Jonas Wind untuk memecahkan kebuntuan.

Denmark jelas menguasai babak pertama dengan hampir 70 peratus penguasaan bola dengan sekurang-kurangnya tujuh percubaan ke arah gawang lawan tetapi aksi dalam babak kedua menceritakan sebaliknya.

Selepas percubaan Rasmus Hojlund dinafikan penjaga gol, Jan Oblak, arus perlawanan itu mula memihak Slovenia, di mana mereka mula menemui rentak untuk melakukan percubaan bertali arus ke gawang Kasper Schmeichel.

Hasilnya, Janza melakukan percubaan voli jarak jauh dari luar kotak penalti selepas satu gerakan daripada sepakan sudut, yang sempat terbias ke badan pertahanan lawan sebelum menerjah masuk ke gawang.

Denmark kemudian cuba mengembalikan kelebihan mereka tetapi ketumpulan di depan gawang menyekat mereka untuk mendapatkan tiga mata.