Peluang kedua diberikan buat Selangor bagi mengemukan rayuan berkenaan hukuman yang dikenakan oleh pihak Malaysian Football League (MFL) sebelum ini.

Petang semalam, pihak MFL telah mengeluarkan satu kenyataan berkaitan hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC atas keputusan menarik diri daripada perlawanan Piala Sumbangsih pada bulan lalu.

Empat hukuman telah dikenakan, termasuk larangan kemasukan penonton bagi aksi menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan ke-14 liga akan datang selain denda berupa wang dan pemotongan mata.

Perkara itu telah menarik perhatian warga bola sepak tempatan dan isu itu telah kecoh di media sosial sehingga Selangor FC memuat naik satu kenyataan balas malam tadi bagi memberi respon terhadap hukuman berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam, yang ditemui hari ini, berkata pihak Selangor boleh mengemukan rayuan di atas denda yang dikenakan untuk diteliti oleh badan rayuan dan dipertimbangkan sekiranya perlu.

"Daripada empat rayuan tersebut, badan rayuan akan meneliti proses keputusan dibuat, jikalau daripada empat perkara tersebut perlu kepada satu atau dua perkara dipertimbangkan semula, (maka) boleh diambil daripada badan rayuan,” kata Stuart kepada media.

Tambahnya lagi, tempoh empat hari maksimum diberikan untuk Selangor mengemukan rayuan sebelum dokumen akan diteliti dan badan rayuan akan bersidang yang memakan masa hampir sebulan.

“Pasukan Selangor mempunyai tiga atau empat hari untuk mengemukan surat rayuan dan selepas itu badan akan meneliti dokumen yang relevan dan akan bersidang mungkin dua hingga empat minggu,” tambahnya.

Selangor, yang kini berada di tangga kedua Liga Super dengan mengutip sembilan mata, bakal jatuh ke tangga keempat dengan enam mata setelah hukuman pemotongan itu diambil kira.

Selepas ini, anak-anak buah Nidzam Jamil akan terbang ke Bumi Kenyalang untuk berdepan Kuching City dalam aksi pertama suku akhir Piala FA 2024 di Stadium Negeri Sarawak.

-- Makan Bola