ENGLAND 0 SLOVENIA 0

England menamatkan saingan pusingan awal Euro 2024 selaku juara Kumpulan C tetapi sekali lagi mempamerkan aksi hambar ketika terikat tanpa jaringan dengan Slovenia di Cologne awal pagi tadi.

The Three Lions sekali lagi mempamerkan aksi tumpul di depan gawang, di mana jaringan Bukayo Saka yang dibatalkan dalam babak pertama menjadi satu-satunya momen berkualiti daripada pasukan bimbingan Gareth Southgate itu.

Kemasukan Cole Palmer memberi suntikan baru buat jentera serangan England tetapi masih gagal menemui jaringan kemenangan, sekali gus menyaksikan mereka menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan hanya lima mata daripada tiga perlawanan.

Walaupun seri, England melangkah ke pusingan 16 selaku juara kumpulan selepas Denmark dan Serbia juga seri tanpa jaringan dalam satu lagi perlawanan, yang bermakna mereka mengelakkan diri daripada bertemu tuan rumah, Jerman, dalam pusingan seterusnya.

Denmark akan bertemu Jerman hujung minggu ini manakala Slovenia pula layak ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah mereka selepas muncul antara empat pasukan di tempat ketiga terbaik.