Didier Deschamps sedar akan kepentingan aksi pertama Perancis dalam Euro 2024 menentang Austria awal pagi esok tetapi menegaskan apa yang dilalui Argentina sewaktu memenangi Piala Dunia lalu telah membuktikan permulaan terbaik bukanlah segala-galanya.

Perancis dilihat sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai kejohanan di Jerman itu, di mana mereka layak ke final dalam tiga daripada empat kejohanan utama terakhir disertai -- mereka muncul naib juara Euro 2016 dan Piala Dunia 2022 selain memenangi Piala Dunia 2018.

Kehadiran Belanda dan Poland bakal menyukarkan laluan mereka dalam aksi peringkat kumpulan kali ini, dengan Oranje kendalian Ronald Koeman sudahpun mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Poland 2-1 lewat malam tadi.

Walaupun Deschamps berharap pasukannya akan memperoleh permulaan sempurna dalam edisi ini, pengalaman mereka dalam Piala Dunia Qatar lalu telah membuktikan bahawa ia bukanlah penentu segalanya.

"Perlawanan pertama amat penting tetapi ia bukan penentu.

"Bermula dengan kemenangan, ia tidak memberikan apa-apa kelebihan. Austria juga pasti fikirkan perkara sama.

"Memenangi perlawanan pertama akan meletakkan kami di kedudukan yang baik tetapi itu bukan satu-satunya cara, lihatlah Argentina!

"Ini adalah pertandingan, kami memastikan semua kakitangan mempunyai segala maklumat. Ciri biasa semua perlawanan dalam kejohanan ini ialah keamatannya sangat tinggi.

"Austria mempunyai kekuatan ini, mereka menggunakan formasi dengan baik. Kami perlu bersedia untuk mendapatkan keputusan yang kami mahukan," katanya