Selangor Pistons tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan 2-0 ke atas Kelantan Warriors dalam saingan Grand Prix (GP) Penang Emas Anuar Sepaktakraw League (STL) Premier di SPICE Arena, sebentar tadi.

Selangor dan Kelantan sudah pasti mahu mencari jalan untuk memintas kedudukan PDRM Defenders sebagai peneraju kumpulan setakat ini.

Mempertaruhkan trio Aizat Azmi, Jefri Ahmad dan Ariff Daniel, Selangor tidak berdepan masalah untuk mengawal gelanggang dan jauh mendahului Kelantan 6-1.

Kelantan bagaimanapun berjaya menemui rentak untuk mengejar permainan sehingga berjaya merapatkan kedudukan 10-11.

Tersentak dengan kebangkitan itu, Selangor mengorak langkah yang lebih kemas, dan menang set pertama 15-11.

Set kedua menyaksikan giliran Selangor pula ketinggalan sebelum berjaya memintas Kelantan 8-5.

Dan bermula mata itu, Selangor terus memacu mata manakala Kelantan pula sangkut di kedudukan 5 mata untuk tewas 5-15.