Aksi pertama Kumpulan C menyaksikan Perak Bison menewaskan Selangor Pistons dalam pertemuan rubber set saingan Grand Prix (GP) Perak, Emas Anuar Liga Sepaktakraw (STL) Premier di Stadium Indera Mulia, Ipoh, sebentar tadi.

Selangor Pistons hampir memenangi set pertama apabila mempamerkan kebangkitan sensasi mengikat mata 14-14 di set pertama, namun tonggak pemain Perak yang dianggotai oleh Kritsada Sungvung, Asyraf Hadi dan Noraizat Nordin berjaya mengheret ke tie break seterusnya mengungguli perlawanan pertama 17-16.

Skuad tuan rumah diberi temparan hebat apabila pasukan bimbingan Azman hamid memberi saingan sengit untuk kembali dalam permainan dan hasilnya Selangor Piston berjaya mengambil alih set kedua 15-6 untuk ke set penentuan.




Menuju detik kemenangan, kedua-dua pasukan saling bertukar mata demi tidak mahu keciciran selain terus merapatkan jurang aksi.

Sorakan gemuruh daripada penyokong tuan rumah memberi kelebihan buat Perak Bison untuk menutup perlawanan pembukaan GP ketiga itu dengan kemenangan dramatik di set ketiga 15-13.