Beregu lelaki negara, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, terpaksa bekerja keras untuk bergelar juara Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 selepas menewaskan wakil Amerika Syarikat, Zhi Yi Chen-Presley Smith, dalam aksi rubber set 19-21,21-15,21-12, di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Tempoh 20 minit diperlukan pilihan ketiga daripada Amerika Syarikat untuk menewaskan wakil negara dalam pertarungan sengit apabila kedua-dua pasukan terikat 19-19. Namun, Chen Zhi Yi-Presley Smith terlebih dahulu mencuri dua mata terakhir untuk menang set pertama 21-19.

Beregu negara di kedudukan ke-45 dunia itu mempertajamkan lagi aspek serangan dalam set kedua untuk bangkit mengheret Zhi Yi Chen-Presley Smith ke set penentuan dengan kemenangan 21-15.





Percaturan yang serba tidak menjadi dalam awal perlawanan memberikan kelebihan buat Low Hang Yee-Ng Eng Cheong yang beraksi di laman sendiri untuk mendahului 8-2.

Momentum itu diteruskan wakil negara untuk merangkul gelaran kejohanan berstatus Super 100 itu selepas menewaskan pasukan lawan dalam set penentuan dengan kemenangan 21-12 dalam tempoh 1 jam perlawanan secara keseluruhannya.