Tempoh pengalaman hampir empat dekad berkhidmat di Majlis Sukan Negara (MSN) jadi panduan kepada Ketua Pengarah yang baru dilantik berkuatkuasa hari ini, Abdul Rashid Yaakub memacu industri sukan ke arah lebih gemilang.

Abdul Rashid bertekad menterjemahkan pengalamannya dari peringkat bawahan -- untuk memperkasa program di bawah Majlis Sukan Negara.

Begitu pun, Abdul Rashid enggan tergesa-gesa dalam menerapkan elemen pembaharuan agar ia tidak mengganggu persiapan atlet dalam Program Podium, khususnya Road to Gold.

"Saya mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Kementerian Belia dan Sukan serta Ahli Lembaga Pengurus MSN kerana melantik saya selaku Ketua Pengarah MSN.

"Kami buat perbincangan bersama dan laksanakan perubahan mana perlu manakala yang baik akan kita teruskan supaya dapat mempertingkatkan lagi prestasi sukan di negara,” katanya menerusi Nadi Arena.

Dalam majlis sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyambut baik inisiatif antara MSN dan Universiti swasta dalam mewujudkan persekitaran yang lebih sihat selepas mereka bergelar atlet berprestasi tinggi.

"Saya melihat perkara ini adalah sangat baik sebagai pelaburan industri sukan, syarikat swasta mengambil langkah untuk memperkasakan industri sukan" kata Hannah.