Choong Hon Jian-Haikal Nazri mengidam untuk menjamah ‘nasi briyani’ bagi meraikan kejayaan mereka merangkul kejuaraan beregu lelaki Kejohanan Badminton Antarabangsa Syed Modi, malam tadi, berikutan persembahan memberangsangkan untuk mengejutkan pilihan utama, Akira Koga-Taichi Saito.

Memenangi acara Super 300 ini merupakan satu kejutan walaupun bagi pemain-pemain ini, yang digandingkan bersama hanya empat bulan lalu berikutan rombakan.

Selain itu, gandingan nombor 93 dunia ini di laluan sukar di peringkat undian termasuk perlu berdepan pilihan keempat dan kedua, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel dan Ben Lane-Sean Vendy, dalam perjalanan ke final.

Setelah mengharungi ujian tersebut, mereka melepasi halangan terakhir dengan cemerlang apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Koga-Saito 18-21, 21-18, 21-16 dalam pertarungan selama 63 minit.

Haikal, yang kelihatan gementar dalam set pertama, mengakui sebaik sahaja mengatasi kegelisahan itu maka segala gerakannya mula menjadi.

“Saya gugup dalam set pertama. Saya tahu saya perlu mengubah sesuatu dan selepas itu, saya berjaya mengembalikan rentak dalam set kedua.

"Kami juga berterima kasih kepada jurulatih atas bimbingannya di belakang gelanggang. Dia memberitahu kami supaya mula mendapatkan keyakinan.





“Pesannya tepat sekali, sebaik sahaja kami mengembalikan keyakinan, segala-galanya mula menjadi.

"Kami pastinya tidak menyangka akan ke final, apatah lagi memenangi kejohanan ini.

"Ini adalah satu permulaan yang baik untuk kami dan saya harap terus tekal untuk menyasarkan lebih banyak gelaran,” katanya.

Dengan memenangi gelaran sulung mereka sebagai pasangan, Choong-Haikal memastikan Malaysia merangkul kejuaraan beregu lelaki berturut-turut dalam Syed Modi selepas kejayaan Tee Kai Wun-Man Wei Chong.




Kemenangan Choong-Haikal juga bermakna beregu lelaki Malaysia kini telah merangkul enam gelaran dalam Jelajah Dunia tahun ini apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Tee-Man dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin turut cemerlang di Denmark, Chinese Taipei dan Terbuka Amerika Syarikat, Masters Kaohsiung dan Abu Dhabi.

Aaron-Wooi Yik berpeluang merangkul kejuaraan beregu lelaki ketujuh untuk negara sekiranya mereka menjuarai Pusingan Akhir Jelajah Dunia yang bermula 13-17 Disember ini.