Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mempamerkan ketenangan untuk melayakkan diri ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand BWF dengan menewaskan wakil China, Lu Guang Zu, dalam aksi tiga set di Bangkok, Thailand sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, Zii Jia jelas menguasai set pertama perlawanan separuh akhir itu, di mana selepas meraih mata pertama, pemain nombor 10 dunia itu tidak pernah ketinggalan sebelum menang 21-13.

Bagaimanapun, situasi itu berubah 360 darjah dalam set kedua dengan Guang Zu mula mendominasi saingan untuk mengheret aksi ke set penentuan dengan kemenangan 21-16.

Aksi dalam set penentuan jelas berlangsung sengit dengan kedua-dua pemain saling mengejar mata tetapi selepas mendahului 19-18, Zii Jia meraih dua mata terakhir untuk menamatkan saingan keseluruhan selama sejam enam minit itu dengan kemenangan 21-18.

Dia seterusnya akan menantikan pemenang di antara jaguh Jepun, Kodai Naraoka, dan perseorangan Taiwan, Chou Tien Chen, untuk penentuan ke final esok.