Novak Djokovic menyampaikan berita buruk buat Carlos Alcaraz, Daniil Medvedev dan semua calon grand slam yang lain bahawa dia masih mahu meneruskan kariernya.

Djokovic melakar rekod kejuaraan grand slam ke-24 dengan menewaskan Medvedev dalam pertarungan tiga set untuk memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS), sebentar tadi.

Pemain berusia 36 tahun itu merakamkan satu lagi tahun dominan dengan menawan Terbuka Australia dan Perancis selain menjadi naib juara di Wimbledon ketika tewas kepada Alcaraz untuk menjadi juara tertua di Flushing Meadows dalam era Terbuka.

Malah, Medvedev yang mula terbayangkan bahawa cabarannya sudah pun berakhir sebaik dia tewas dalam set kedua dalam tempoh 104 minit melontarkan soalan: “Apa yang anda masih lakukan di sini? Maksud saya, cepatlah (bersara).”

Tetapi Djokovic menegaskan: “Saya akan teruskan perjuangan. Anda tahu, saya berasa sihat secara fizikal. Saya masih berasakan bahawa saya mendapat sokongan di persekitaran saya, pasukan saya, keluarga saya.




“Boleh saya katakan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, grand slam sentiasa menjadi matlamat tertinggi dan keutamaan saya sepanjang musim. Saya tidak banyak menyertai kejohanan lain jadi saya cuba mengutamakan persiapan saya supaya saya boleh mencapai kemuncak dalam grand slam.

“Ini adalah detik istimewa dan setiap hari emosi ini memotivasikan diri saya ketika tidak menyertai kejohanan.

"Ya, kadang-kadang saya bertanya kepada diri sendiri 'mengapa saya masih memerlukan ini semua di peringkat ini selepas segala yang saya lakukan. Berapa lama saya mahu teruskannya?’ Sudah tentu soalan-soalan ini berlegar di minda saya.

“Tetapi dengan mengetahui bahawa saya masih bermain di peringkat tinggi dan saya memenangi gelaran paling berprestij dalam sukan ini, saya tidak mahu meninggalkan sukan ini ketika masih di kemuncak. Saya masih beraksi seperti yang saya kehhendaki."